Prolog - Mencari Jalan Ke Syurga

          Kepulauan asap hitam kelihatan samar-samar ditelan kepekatan malam. Cahaya kilat yang kadangkala memancar memperlihatkan keadaan jalan yang kiri kanannya dipenuhi oleh pokok-pokok, bertebaran di sana-sini. Agak menggerunkan apabila di situ juga kelihatan sebuah kereta Mercedes Benz merintangi jalan dengan tayarnya di kedudukan atas. Kemalangan yang baru beberapa minit berlaku tanpa diketahui sesiapa pun memandangkan hari yang telah pun lewat dan cuaca yang kurang baik, masih tidak diketahui sebabnya. Tak lama kemudian, kelihatan satu percikan api dari bahagian belakang kereta tersebut. dan disusuli pula satu letupan kuat membakar kereta itu dengan serta-merta. Hujan renyai-renyai bagaikan merintih mengiringi suasana yang penuh tragis itu.

Tidak sampai pun setengah jam,tempat itu sudah mula dipenuhi orang ramai. Bomba dan polis
bertungkus-lumus memadamkan api. Dua buah ambulans dan sekurang-kurangnya lima orang kakitangan hospital telah bersiap menghadapi sebarang kemungkinan apatah lagi mereka diberitahu terdapat satu mayat yang rentung di dalam kereta tersebut. Usaha untuk mengeluarkan mayat tersebut perlu dilakukan setelah api dipadamkan. 
"Kat sini! Sini ada orang! Masih hidup lagi!" tempik seorang pegawai polis yang berada tidak jauh dari kenderaan yang sedang terbakar itu.
Semua orang terus menerpa ke arah pegawai polis tersebut.
Sekujur tubuh terlangkup di permukaan tanah,ditutupi oleh semak-samun setinggi paras pinggang. Patutlah sejak tadi mereka langsung tidak menyedari terdapatnya mangsa kemalangan itu tercampak ke semak-samun tersebut.
Pertolongan cemas terus diberi sebelum mangsa dialihkan. Keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri sukar ditafsirkan sama ada dapat diselamatkan atau tidak. Malahan tahap kecederaan yang tampak serius itu menyukarkan lagi usaha mereka. Di sinilah persimpangan antara hidup dan mati menjadi pertaruhan.

BUNYI sudah jauh kedengaran. Cahaya yang memutih bersilih ganti melepasi tubuhnya yang kaku. Mata terpejam rapat tetapi telinganya masih sempat menangkap hiruk-pikuk di sekelilingnya. Dunianya bagaikan berputar laju. Darah merah masih mengalir tanpa henti. Kedinginan malam pula semakin mencengkam diri membuatkan nafasnya tersekat-sekat. Kesakitan yang dirasai sudah tidak mampu digambarkan lagi. Hanya sebagai hamba Tuhan dia mampu digambarkan lagi. Hanya sebagai hamba tuhan dia mampu berserah dan menerima takdir yang telah ditentukan. 

   Cukup bersediakah dia menghadapi saat-saat di penghujung kehidupannya? Memadaikah apa yang telah dikecapinya di dunia ini? Adakah ini akhiran perjalanan seorang hamba Allah di dunia yang fana ini?

    Wajah-wajahsuram bersilih ganti muncul dan terus menghilang. Sebening air matanya menitis bersatu bersama darah yang membaluti pipinya. Dalam perjuangan di saat-saat akhir itu, terkumat-kamit mulutnya cuba menuturkan sesuatu namun entah kenapa fikirannya kosong dan mulutnya terkunci rapat.
    Hatinya mula merintih sayu. Ya Allah,dosa yang kupikul sebesar dunia inikah yang akan menjadi bekalan di akhirat nanti?
                    Di manakah amalan-amalanku?Berapa banyakkah yang mampu kubawa bersama? Ya Allah,jika aku diberi peluang kedua,tidak akan ku persia-siakan hidup ini. Ampunilah dosa-dosaku... dosa semalam yang aku banggakan selama ini.
                    Seraya nafasnya sudah berada di hujung nyawa, nadinya sudah berhenti berdenyut, akhirnya dia terus terkapai-kapai di alam yang gelap gelita. Adakah untuk selama-lamanya?


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...